Nurul Amanina Suhaini
am@hmetro.com.my


Johor Bahru: Tiga penjawat awam antara 17 individu ditahan susulan kejayaan polis menumpaskan tiga sindiket penyalahgunaan ketum dalam tujuh serbuan berasingan di beberapa daerah di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan hasil operasi yang dilancarkan antara 27 Ogos hingga 4 September lalu selepas risikan selama sebulan.

Katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah membuat serbuan di sekitar Kota Tinggi, Kulai, Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Tangkak.

"Sindiket yang dipercayai aktif sejak awal tahun ini menggunakan modus operandi membawa bekalan ketum dari utara tanah air melalui lori yang diisytiharkan sebagai barangan 'essential' (keperluan) bagi mengaburi pihak berkuasa, selain menggunakan gudang dan rumah sebagai lokasi pemprosesan.

"Kegiatan ini menjadi popular sejak kebelakangan ini susulan harga pasaran ketum yang tinggi dan permintaan meningkat iaitu pada harga semasa daun ketum antara RM30 hingga RM80 sekilogram.

"Ia boleh menghasilkan 10 hingga 15 liter air ketum, kemudiannya dijual di pasaran tempatan pada harga antara RM15 hingga RM20 seliter, selain dipercayai kaedah jualan sama ada melalui penghantaran, beli di rumah atau pembelian secara atas talian.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara rampasan ketum pada sesi sidang media di IPK Johor. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan antara rampasan ketum pada sesi sidang media di IPK Johor. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

"Operasi juga berjaya merampas 542.73 kilogram daun ketum bernilai RM5,427.30 dan 300.80 liter air ketum bernilai RM3,008 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah RM8,435.30," katanya pada sidang media di IPK Johor hari ini.

Ayob Khan berkata, rampasan keseluruhan daun dan air ketum itu boleh digunakan oleh seramai 11,155 pengguna.

Katanya, hasil saringan awal air kencing mendapati dua daripada yang ditahan positif dadah jenis methamphetamine, selain tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Beliau berkata, kesemua suspek termasuk seorang wanita warga Indonesia berusia antara 20 hingga 56 tahun itu direman antara tiga hingga tujuh hari, selain kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dalam pada itu katanya, pada 1 Januari hingga 4 September lalu, JSJN Johor membuat tangkapan 8,998 individu atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 10.89 tan dadah bernilai RM352.36 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 2:50 PM