Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Polis Johor berjaya membongkar sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menjadikan sebuah rumah sewa di Parit Jawa, Muar sebagai pusat transit utama sebelum diseludup ke Indonesia.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan yang dijalankan membawa kepada rampasan 84 kilogram (kg) syabu bernilai RM3.02 juta yang mahu diseludup menerusi jalan laut ke negara jiran terbabit.

Beliau berkata, kejayaan itu adalah hasil risikan dilakukan Unit Risikan Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 2 Muar bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor.

Katanya, susulan risikan itu, satu operasi khas diadakan di Muar pada 12 hingga 14 Mei lalu.

"Dalam serbuan pertama pada 12 Mei lalu, seorang suspek lelaki berusia 36 tahun ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu malah hasil saringan urin mendapati suspek positif dadah namun dia tiada rekod kesalahan lampau.

"Susulan penahanan suspek lelaki itu, tiga lagi serbuan dibuat pada 13 dan 14 Mei lalu di sekitar Muar yang membawa kepada penahanan tiga lagi suspek membabitkan seorang wanita Indonesia dan suaminya yang juga lelaki tempatan bersama seorang lagi lelaki tempatan berusia antara 36 hingga 49 tahun.

"Hasil saringan urin mendapati dua suspek lelaki berkenaan positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan membabitkan dadah.

"Modus operandi sindiket penyeludupan dadah antarabangsa ini adalah menjadikan sebuah rumah kampung yang disewa di Parit Jawa, Muar sebagai pusat transit sebelum ia diseludup menerusi jalan laut ke Indonesia," katanya.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tiga dari kanan) menunjukkan antara rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay (tiga dari kanan) menunjukkan antara rampasan dadah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Menurutnya, penahanan empat suspek berkenaan membawa kepada rampasan 84 kg dadah jenis syabu bernilai RM3.02 juta.

"Polis juga menyita dua kereta bernilai RM36,000 dan sitaan sebuah akaun dengan nilai RM36,762.50," katanya.

Dalam kes berasingan, Ayob Khan berkata, polis berjaya menemui 41.78 kg syabu bernilai RM1.5 juta yang disembunyikan di bahagian belakang sebuah kereta Toyota Camry dalam sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bakar Batu arah Melaka-Muar, Muar, Jumaat lalu.

Katanya, polis menahan kereta dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika melalui SJR berkenaan pada jam 7 malam.

"Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai 41.78 kg dadah jenis syabu bernilai RM1.5 juta di dalam kereta itu yang disyaki untuk diseludup ke Indonesia.

"Polis turut menyita satu akaun bank mengandungi wang tunai RM1,612.94 selain ujian saringan mendapati lelaki berkenaan positif dadah dan memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Ayob Khan berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah kedua-dua kes itu berjumlah RM4.52 juta.

"Rampasan kesemua dadah itu disyaki mampu menampung kegunaan 628,900 penagih.

"Kesemua lima suspek kedua-dua kes direman selama tujuh hari sehingga 21 Mei ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 2:37 PM