Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Suasana sepanjang Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand lengang tanpa sebarang aktiviti keluar masuk dengan kawalan ketat oleh pihak berkuasa.

Tinjauan mendapati, setiap pangkalan haram yang menjadi 'kawasan panas' dalam kalangan penyeludup juga dijaga rapi oleh beberapa anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) yang lengkap bersenjata.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, kawalan selama 24 jam dilakukan dengan tenaga kerja seramai 400 anggota dan pegawai yang bertugas secara bergilir di setiap pangkalan termasuk membuat rondaan bermotor dan kereta bagi memastikan keadaan terkawal.

"Melalui Ops Benteng Covid-19, PGA7 mengawal ketat 128 pangkalan haram yang dikenal pasti iaitu di sektor Rantau Panjang sebanyak 51 buah , Sektor Jeram Perdah sebanyak 27 buah dan Sektor Kuala Jambu 51 buah.

"Anggota sentiasa diingatkan untuk lebih komited menjalankan tugas mereka terutama bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) ditambah dengan situasi negara yang kini dibelenggu dengan wabak pendemik Covid-19 yang kembali meningkat.

"Perkara ini perlu bagi memastikan penularan wabak terbabit dapat dibendung daripada terus meningkat lagi dan seterusnya membahayakan keselamatan rakyat tempatan sendiri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota PGA7 mengawal ketat sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Anggota PGA7 mengawal ketat sepanjang Sungai Golok di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Azhari turut menyeru kepada masyarakat di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, penduduk tempatan Roslan Deris, 46, berkata, suasana itu dapat dilihat sejak Mac lagi, pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan sejak jumlah jangkitan Covid-19 bertambah kebelakangan ini, kawalan semakin ketat.

"Tiada lagi aktiviti keluar masuk sempadan berlaku sama ada melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang mahupun mengikut pangkalan haram kerana penduduk akur dengan perintah kerajaan.

"Malah, bagi mereka yang mempunyai saudara mara di sebelah Thailand, hanya mampu bertanya khabar melalui telefon selepas hampir tujuh bulan pintu sempadan ditutup.

"Walaupun akur situasi ini mengganggu urusan perniagaan di pekan Rantau Panjang, namun demi keselamatan dan kesihatan pelbagai pihak, tindakan kawalan daripada pihak penguat kuasa adalah sesuatu yang wajar dalam situasi hari ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2020 @ 7:56 PM