Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) melaksanakan pelbagai rampasan dan tangkapan melalui Ops Benteng Covid-19 membabitkan 113 kes dengan nilai rampasan hampir RM5 juta dalam masa sebulan.

Kes berkenaan membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah, ketum, haiwan ternakan, barangan kawalan serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (Pati) yang biasanya dilakukan secara haram melalui Sungai Golok.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, jumlah nilai rampasan terbabit antara paling tinggi diperolehi pihaknya dengan catatan tertinggi membabitkan barangan kawalan iaitu lebih RM3 juta.

"Selain itu, kami turut menangkap 94 individu yang melakukan pelbagai kesalahan iaitu 12 daripada mereka adalah Pati warganegara Thailand membabitkan 10 lelaki dan dua wanita.

"Kejayaan diperoleh sepanjang tempoh penugasan PGA7 adalah suatu yang membanggakan walaupun berhadapan dengan wabak Covid-19, kerana kawalan ketat tetap diteruskan agar tidak berlaku sebarang pembolosan dan jenayah rentas sempadan.

"Pencapaian ini hasil kerjasama baik dengan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bergabung tenaga menjaga sempadan negara, begitu juga dengan agensi keselamatan lain," katanya dalam sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok, di sini, semalam.

AZHARI memberi penerangan sepanjang tempoh penugasan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bergabung tenaga menjaga sempadan negara melalui Ops Benteng Covid-19 di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZHARI memberi penerangan sepanjang tempoh penugasan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bergabung tenaga menjaga sempadan negara melalui Ops Benteng Covid-19 di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Azhari berkata, rampasan haiwan ternakan menunjukkan peningkatan membabitkan 63 lembu dan 50 kambing bernilai lebih RM1.1 juta dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan nilai rampasan haiwan ternakan itu sedikit tinggi berikutan Aidiladha bakal tiba dan haiwan terbabit untuk tujuan ibadah korban.

"Pelbagai taktik digunakan sindiket penyeludupan bagi memastikan aktiviti mereka berjalan lancar, namun ketangkasan anggota berjaya menghalang jenayah terbabit dan kami menggunakan bantuan unit dron untuk kawalan di udara.

"Justeru, pembolosan di sempadan dapat ditangani sebaiknya dan saya berharap rakan seperjuangan membabitkan Batalion 8 dan Batalion 9 PGA, boleh meneruskan tugas sebaiknya selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 4:01 PM