AZHARI Nusi (kanan) memeriksa kawad berduri yang dipasang di sepanjang Pengkalan MCA bagi mengelakkan pencerobohan penyeludupan dalam  Ops Benteng COVID-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AZHARI Nusi (kanan) memeriksa kawad berduri yang dipasang di sepanjang Pengkalan MCA bagi mengelakkan pencerobohan penyeludupan dalam Ops Benteng COVID-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) melakukan rampasan mercun bernilai RM635,347 dalam tempoh sebulan penugasan Ops Benteng Covid-19 di sempadan negara Malaysia-Thailand.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rampasan itu membabitkan 14 kes dengan tangkapan 12 lelaki di beberapa lokasi seperti di Rantau Panjang, Jeram Perdah di Pasir Mas dan Kuala Jambu di Tumpat.

Katanya, kejayaan itu diperolehi berikutan langkah memperketatkan kawalan berikutan jangkaan peningkatan penyeludupan membabitkan mercun sepanjang Ramadan menjelang ketibaan Aidilfitri.

"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk meredah hujan dan panas selain berisiko dengan jangkitan Covid-19, namun penugasan tetap dilakukan 24 jam bagi menjaga sempadan negara daripada dibolosi.

"Sindiket melakukan penyeludupan secara kecil-kecilan menggunakan kereta atau van, berbeza sebelum ini menggunakan lori dan barangan disimpan di stor transit sebelum diagihkan ke lokasi dituju," katanya.

Beliau berkata dalam sidang media di Markas Taktikal Briged Tenggara, Lubok Stok, di sini, hari ini.

Azhari turut membuat lawatan di beberapa pangkalan haram Sungai Golok iaitu pangkalan Gergaji dan Paung, di sini, untuk memantau anggota yang menjalankan tugas.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas aktiviti rentas barangan menggunakan tali yang disambung dari tebing sungai sebelah Thailand dan Malaysia yang aktif, sebelum ini.

"Hasil siasatan, kebanyakan penduduk menggunakan inisiatif ini untuk mengirim wang, dokumen dan ubat-ubatan kepada ahli keluarga atau saudara-mara yang berada antara dua negara berkenaan.

"Namun, apa yang dilakukan tetap menjadi satu kesalahan. Justeru anggota terus memantau agar aktiviti sedemikian tidak lagi dilakukan demi kebaikan bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 2:26 PM