AZHARI (tengah) bersama anggotanya yang bertugas dalam Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Ihsan PGA7
AZHARI (tengah) bersama anggotanya yang bertugas dalam Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand. FOTO Ihsan PGA7
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) mencatatkan 132 kes penyeludupan dengan nilai rampasan lebih RM6.3 juta dalam tempoh sebulan menerusi Ops Benteng Covid-19 di sempadan Malaysia-Thailand.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, kes itu membabitkan pelbagai rampasan seperti dadah, daun ketum, hidupan liar, barangan kontraban, haiwan ternakan, pendatang asing tanpa izin (Pati) dan bongkah kayu sarang madu kelulut.

Beliau berkata, kes paling tinggi membabitkan penyeludupan barangan kontraban seperti pakaian, vape dan rokok iaitu 95 kes dengan nilai rampasan lebih RM5 juta.

"Hasil semua rampasan itu, kami menangkap 113 suspek terdiri daripada warga Thailand, Myanmar, Bangladesh dan warga tempatan yang bertindak berani melakukan jenayah rentas sempadan.

"Dalam tempoh penugasan ini, PGA7 lebih memberikan tumpuan kepada rondaan bermotosikal dan berkereta, selain bantuan daripada Unit Dron digunakan untuk mengumpul maklumat risikan.

"Kami terpaksa menghadapi situasi yang mencabar susulan penularan wabak Covid-19, namun semua petugas barisanhadapan sudah menerima suntikan vaksin dos lengkap yang banyak membantu dalam mengurangkan risiko jangkitan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azhari berkata, semua pegawai dan anggota dinasihatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan apabila sesuatu serbuan atau tangkapan dilaksanakan.

Beliau berkata, fokus utama agensi penguat kuasa di sempadan adalah mencegah serta membanteras segala bentuk penyeludupan dan jenayah rentas sempadan di kawasan tanggungjawab walau apa jua keadaan sekali pun.

"Pelbagai strategi dan modus operandi (MO) penyeludupan dikesan anggota bertugas di sepanjang penugasan ini, membuktikan kami tidak pernah leka untuk memastikan sempadan negara tidak dibolosi begitu sahaja.

"Kawalan ketat di pangkalan haram sepanjang Sungai Golok turut menjadi faktor utama kejayaan anggota menangani kes penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 1:01 PM