Murnaena Muhammad Nasir

Kuala Lumpur: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) kekal beroperasi dengan kapasiti penuh pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.

Ketua Hal Ehwal Media Prasarana, Azhar Ghazali berkata, operasi bas, monorel, Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) beroperasi seperti biasa dari 6 pagi sehingga tengah malam.

"Tinjauan seawal 6 hingga 9 pagi dilihat jumlah penumpang tren adalah seperti biasa namun mungkin berlaku sedikit penurunan berikutan ada syarikat yang memilih pekerjanya bekerja dari rumah.

"Prasarana masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat sama seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya ketika tinjauan pengangkutan awam di sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua penumpang perlu mengamalkan kawalan kendiri ketika menggunakan perkhidmatan awam.

"Semua penumpang perlu bertanggungjawab dan sama-sama membantu mengekang penularan wabak Covid-19 dengan memakai pelitup muka dengan betul dan bukannya jadikan ia sekadar syarat.

"Penumpang juga digalakkan kurangkan bercakap ketika menggunakan perkhidmatan awam bagi mengurangkan kebolehjangkitan virus," katanya.

Azhar Ghazali berkata, mengimbas kod MySejahtera atau mencatat nama dalam buku, mengesan suhu badan serta pemakaian pelitup muka masih lagi menjadi SOP wajib sebelum menaiki perkhidmatan awam.

SEBAHAGIAN penumpang mengikuti SOP  penjarakan sosial bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ketika menggunakan perkhidmatan MRT. FOTO ASWADI ALIAS
SEBAHAGIAN penumpang mengikuti SOP penjarakan sosial bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ketika menggunakan perkhidmatan MRT. FOTO ASWADI ALIAS

Mengulas pemeriksaan surat pelepasan keluar bekerja penumpang, Azhar Ghazai berkata, pihaknya belum menerima arahan untuk berbuat demikian.

"Setakat hari ini tiada arahan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pihak kami memeriksa surat pelepasan keluar bekerja penumpang memandangkan MRT melalui laluan Selangor dan Kuala Lumpur.

"Walaupun begitu, pihak kami sentiasa bersedia dengan apa-apa arahan baru kerajaan terutama dalam membantu mengurangkan pergerakan keluar masuk atau merentas daerah dalam dua minggu PKPB ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Khidmat Pelanggan Syarikat Telekomunikasi, Farah Mahmud, 26, berkata, jumlah penumpang hari ini lebih ramai tidak seperti PKPB terdahulu.

"Malah, di pasar raya juga tiada pembelian panik kerana rata-rata rakyat sudah bersedia dan mempunyai pengalaman.

"Saya sendiri sentiasa mengamalkan kawalan kendiri ketika menaiki pengangkutan awam dengan memakai pelitup muka dengan betul dan tidak duduk atau berdiri terlalu rapat dengan penumpang yang lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 2:03 PM