Suraya Roslan

PERKHIDMATAN Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Kajang yang dulunya merekodkan purata jumlah penumpang harian lebih 200,000 menurun kepada 80,000 untuk enam bulan pertama tahun ini.

Perkhidmatan itu terjejas teruk hampir empat bulan akibat wabak Covid-19 khususnya pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Hari ini, Rapid KL meraikan ulang tahun ketiga operasi MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) yang kian popular dan menjadi penyumbang besar dalam merealisasikan sasaran kerajaan untuk meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Operasi), Muhammad Nizam Alias berkata, sebelum ini MRT Laluan Kajang pernah merekodkan 250,467 penumpang sehari pada 31 Disember 2019 dan pernah mencecah 676,495 penumpang hanya dalam tempoh 15 hari pada 16 Disember 2016.

"Menurut data kami, 676,495 penumpang ini terdiri daripada mereka yang datang dari luar Selangor untuk menikmati pengalaman hebat menaiki MRT.

"Berdasarkan pola jumlah penumpang rel urban terkini, perkhidmatan MRT Laluan Kajang berpotensi besar untuk terus berkembang maju dan berkeupayaan untuk menggantikan LRT Laluan Kelana Jaya sebagai penyumbang terbesar dalam jumlah penumpang rel kendalian Prasarana," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, MRT Laluan Kajang meletakkan Malaysia setanding dengan negara maju dari segi kemudahan pengangkutan awam.

"Jumlah penumpang juga meningkat dengan baik dan semakin ramai mula menaiki pengangkutan awam rel sebagai suatu yang amat memudahkan.

"Kami percaya dengan pertumbuhan bandar baru di jajaran berkenaan jumlah penumpang akan terus meningkat," katanya.

Katanya, antara projek pembangunan utama sepanjang jajaran MRT Laluan Kajang adalah hab komersial integrasi dekat Stesen Kwasa Damansara; pembangunan di sekitar Stesen Kwasa Sentral; Pavilion Lifestyle Mall dekat Stesen Pusat Bandar Damansara; Menara The Exchange 106 dekat Stesen Tun Razak Exchange dan Menara KL 118 dekat Stesen Merdeka.

GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.

"Selepas pembukaan 14 stesen untuk fasa pertama dari Sungai Buloh ke Semantan pada 16 Disember 2016, perkhidmatan MRT dibuka sepenuhnya untuk semua 35 stesen pada 17 Julai 2017 sekali gus membuka satu era baru dalam penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

"Pada 2017 secara keseluruhan, seramai 22 juta penumpang direkodkan dan meningkat kepada 51 juta penumpang bagi 2018.

"Atas inisiatif pas perjalanan tanpa had My100 yang diperkenalkan Prasarana bermula 1 Januari 2019, MRT Laluan Kajang mencatat 63 juta jumlah penumpang tahun lalu," katanya.

Muhammad Nizam berkata, bagaimanapun momentum itu terjejas pada 2020 kerana penularan wabak Covid-19 dan arahan PKP bermula 18 Mac lalu.

"Kami di Kumpulan Prasarana bagaimanapun tetap mempunyai keyakinan dan menaruh harapan tinggi Malaysia akan menang dalam perjuangan menentang Covid-19.

"Ia akan kembali makmur dan sejahtera serta ekonomi negara khususnya di Lembah Klang dan Selangor semakin rancak dengan rangsangan daripada perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

"Perkhidmatan rel urban yang dipacu Prasarana akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi ini dengan MRT yang bakal menerima rangkaian kedua, MRT Laluan Putrajaya tahun depan untuk fasa pertama akan menjadi pemacu kepada pemulihan ekonomi ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 4:08 PM