Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Rapid KL menjangkakan berlaku pertambahan penumpang tren terutama di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) KL Sentral bermula Isnin depan susulan peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang.

Ketua Pegawai Operasi LRT Rapid KL Azmi Md Zain berkata, jangkaan peningkatan jumlah penumpang itu berikutan Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan kembali beroperasi pada minggu depan.

"Kami mempunyai rekod jumlah penumpang setiap hari dan tindakan susulan seperti penambahan tren di beberapa stesen akan dibuat mengikut keperluan.

"Setakat ini, kita tidak mengesan kesesakan penumpang dan kapasiti tren mencukupi untuk menampung pengguna bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PPN seperti penjarakan fizikal.

"Malah, kita juga ada kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau pematuhan dalam kalangan pengguna," katanya ketika ditemui pada sidang media di KL Sentral, di sini, hari ini.

Azmi berkata, pihaknya melakukan penguatkuasaan SOP dengan ketat termasuk tidak membenarkan penumpang yang tidak sihat dan tidak memakai pelitup muka untuk masuk ke dalam tren.

"Masyarakat perlu bersama-sama memainkan peranan untuk mengelakkan penularan Covid-19," katanya.

KEADAAN orang ramai menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) susulan peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang, bermula hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.
KEADAAN orang ramai menaiki tren Transit Aliran Ringan (LRT) susulan peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Lembah Klang, bermula hari ini. FOTO ASWADI ALIAS.

Sementara itu, seorang suri rumah, Erma Wahab, 45, berkata, keadaan di dalam tren dan bas tidak begitu sesak dengan semua penumpang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Walaupun saya belum menerima vaksin atas sebab komplikasi penyakit, namun saya tetap yakin untuk menaiki pengangkutan awam kerana semua penumpang mengamalkan SOP.

"Bukan sahaja orang sekeliling kita perlu mematuhi SOP tetapi kita sendiri juga perlu mengamalkan SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19," katanya ketika ditemui di Stesen LRT Pasar Seni, di sini, hari ini.

Seorang lagi penumpang tren, N Nalini, 25, berkata, dia sering menggunakan perkhidmatan tren untuk ke tempat kerja dari rumahnya di Taman Jaya ke Ampang Park.

"Saya berulang-alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari menggunakan tren. Apa yang saya nampak hari ini, jumlah penumpang semakin meningkat.

"Peningkatan itu mungkin disebabkan pelaksanaan Fasa 2 di Lembah Klang yang bermula hari ini menyebabkan lebih banyak pergerakan orang ramai," katanya yang juga pekerja sebuah bank.

Tinjauan wartawan Harian Metro di beberapa stesen LRT di sekitar pusat bandar mendapati tiada kesesakan luar biasa meskipun peralihan kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara PPN di Lembah Klang bermula hari ini.

Malah, semua pengguna dilihat mematuhi SOP PPN termasuk amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Selain itu, terdapat beberapa kakitangan Prasarana dan anggota polis bantuan bertugas untuk membuat pemantauan serta rondaan dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 September 2021 @ 12:09 PM