Murnaena Muhammad Nasir


PENJARAKAN sosial dan kawalan kapasiti maksimum penumpang masih diteruskan pengendali pengangkutan awam bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Tinjauan Harian Metro hari ini mendapati, penumpang pengangkutan awam mematuhi arahan penjarakan sosial dalam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), bas Rapid KL dan bas percuma GoKL di stesen Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Tinjauan mendapati, penumpang beratur panjang sejak jam 7 pagi sehingga jam 9 pagi di stesen pertukaran MRT dan LRT Pasar Seni.

Mesin pengimbas suhu automatik diletak di kaunter pengimbas kad bagi mengesan suhu penumpang sebelum mereka dibenarkan masuk ke dalam stesen dengan lebih cepat.

Ketika beratur bersama penumpang lain, wartawan menyaksikan, polis bantuan membantu pengguna orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dengan memberikan keutamaan dengan tidak perlu ikut beratur.

Walaupun mengambil sedikit masa, pengguna tenang menunggu giliran untuk menaiki LRT laluan Putra Height dan Gombak yang bergerak dengan kekerapan tiga minit.

Selain itu, tinjauan mendapati penumpang di dalam tren kekal mematuhi arahan tidak duduk pada kerusi yang ditanda.

Namun, ada segelintir yang tidak mematuhi arahan berdiri di pelekat merah disebabkan tidak mahu menunggu tren yang seterusnya.

Pekerja muzium di Bukit Bintang yang hanya mahu dikenali sebagai Ara, 22, berkata, dia sudah menjangka berlaku kesesakan di stesen pengangkutan awam hari ini.

"Saya sudah jangka ramai pengguna di sini malah perlu beratur panjang. Kerana itu saya keluar rumah tiga jam awal sebelum waktu kerja.

"Saya bersemangat serta bersyukur kerana ini hari pertama saya memulakan tugas selepas dua bulan muzium ditutup," katanya yang menetap di Sri Kembangan, Cheras.

Pengguna bas GoKL, Muhammad Zamri, 47, berkata, dia sudah biasa dengan situasi normal baharu ini kerana hampir setiap hari menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

"Ada waktu saya beri laluan kepada pekerja-pekerja syarikat untuk menaiki bas dulu kerana saya tidak bergegas untuk ke tempat bekerja," katanya yang bekerja di Pasar Pudu.

Mengulas mengenai penjarakan sosial, kakitangan swasta yang menggunakan perkhidmatan bas dan LRT, Amir Khairi, 25, berkata, ia penting untuk terus diamalkan selagi vaksin Covid-19 belum ditemui.

"Walaupun pandemik ini semakin menurun, itu bukan menandakan kita tidak perlu lagi mengamalkan SOP ditetapkan kerajaan. Bagi saya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

"Kapasiti had maksimum bas perlu terus dilaksanakan demi menjaga kesihatan semua. Saya tidak kisah perlu keluar awal untuk ke tempat kerja kerana amalan ini sebenarnya melatih kita lebih berdisiplin," katanya.

TINJAUAN mendapati Pihak Rapid KL mengekalkan penjarakan sosial mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada orang ramai yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya selepas kerajaan membenarkan pelbagai sektor beroperasi semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO Mohd Yusni Ariffin
TINJAUAN mendapati Pihak Rapid KL mengekalkan penjarakan sosial mengikut prosedur operasi standard (SOP) kepada orang ramai yang menggunakan LRT Laluan Kelana Jaya selepas kerajaan membenarkan pelbagai sektor beroperasi semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos bagi membendung penularan wabak Covid-19. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Sementara itu, pembantu jualan kios Nasi Lemak Saleha di stesen Masjid Jamek, Johari Soon, 30, berkata, keadaan pada waktu waktu pagi stesen itu agak sesak.

"Penumpang semakin ramai dan mereka beratur untuk menunggu giliran menaiki tren. Pembeli juga meningkat berbanding sebelum ini.

"Namun, keadaan masih terkawal dengan adanya polis bantuan yang memantau pergerakan penumpang," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media harian semalam, menegaskan SOP dan polisi berkaitan penjarakan sosial perlu diteruskan oleh semua pengendali pengangkutan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 1:59 PM