DEPUTI Komisioner Shafien Mamat (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
DEPUTI Komisioner Shafien Mamat (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas antara Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).FOTO NOR FAZLINA ABDUL RAHIM
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Kemasukan kenderaan ke Kelantan di tiga pintu masuk semalam menyaksikan peningkatan, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Shafien Mamat, berkata peningkatan kenderaan membabitkan di Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh.

"Memang berlaku peningkatan trafik ke Kelantan terutama dari Lembah Klang. Sehubungan itu, saya senada dengan Pengarah Kesihatan Kelantan yang menasihatkan warga Lembah Klang yang pulang ke Kelantan menjalani kuarantin kendiri.

"Pendekatan itu sebagai langkah pencegahan supaya tidak membawa sebarang masalah kepada keluarga di Kelantan.

"Harapan saya semoga kita mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, beliau turut mengarahkan semua Ketua Polis Daerah supaya meningkatkan pemantauan terhadap masyarakat yang gagal mematuhi SOP.

"Setiap hari masih ada orang awam yang tidak mematuhi SOP walaupun berulang kali peringatan dibuat. Perlu diingat pegawai polis berada di merata tempat sama ada yang berpakaian seragam atau tidak.

"Pada masa sama, saya juga meminta KPD supaya memudahkan proses permohonan untuk melakukan perjalanan ke laluan PKPB," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 12:03 PM