GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Sembilan sekatan jalan raya (SJR) dilakukan di lebuh raya PLUS bagi mengawal perjalanan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

PLUS dalam satu kenyataan hari ini berkata, SJR oleh pihak berkuasa itu dilaksanakan bermula hari ini di laluan kritikal di lebuh raya PLUS.

"Lokasi SJR itu adalah di Plaza Tol Jalan Duta, Setia Alam, Shah Alam, Putra Mahkota, Sungai Buaya, Bukit Tagar, Bukit Beruntung, Lembah Beringin dan Seafield.

"Ia bagi mengelakkan orang ramai yang tidak mempunyai kebenaran melakukan perjalanan rentas daerah dan negeri di kawasan PKPB," katanya.

PLUS menasihatkan orang ramai supaya terus kekal berada di rumah bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dan membolehkan petugas barisan hadapan menjalankan tugas mereka dengan selamat.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam, 14 Oktober hingga 27 Oktober ini.

Beliau dipetik berkata, keputusan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan yang berlaku seperti di Klang, Petaling dan Gombak.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 10:42 PM