Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Jumlah penduduk padat selain mobiliti tinggi yang sangat berisiko menyebabkan penularan mencanak Covid-19 adalah faktor utama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan semula di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, perintah PKPB yang membabitkan larangan rentas daerah itu terpaksa dilaksanakan segera.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi banyak kes baharu positif Covid-19 dikesan di beberapa daerah di Lembah Klang dalam seminggu, kebelakangan ini.

"PKPB yang dilaksanakan di Lembah Klang adalah langkah proaktif dan langkah awal yang perlu dilaksanakan segera.

"Usaha kita ialah untuk memutuskan rantaian ini supaya virus Covid-19 tidak merebak kerana densiti di kawasan ini amat tinggi iaitu mempunyai jumlah penduduk yang sangat padat.

"Sangat penting untuk kita kawal penularan ini supaya ia tidak mendadak peningkatannya. Kita juga lihat sekitar Lembah Klang ini, mobiliti penduduk yang amat tinggi juga menjadi satu risiko yang sangat penting untuk kita tangani," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual maya rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1, hari ini.

Pada masa sama Rodzi turut meluahkan kebimbangan pihak MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kerajaan berikutan senario penduduk Lembah Klang keluar balik kampung sehingga menyebabkan trafik di lebuh raya utama sesak sejak semalam.

"Saya yakin rakyat juga merasa bimbang melihat keadaan ini. Oleh itu kita menyeru supaya memahami hasrat, falsafah di sebalik pelaksanaan PKPB ini dan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan dinyatakan oleh kerajaan.

"Peranan rakyat di sini ialah mematuhi dan mengikuti sepenuhnya SOP. Ini kerana apabila kita berada di Lembah Klang, kita tidak tahu sama ada kita ini pembawa virus atau tidak.

"Jika kita mengambil keputusan untuk pulang ke kampung, sedangkan di kampung mungkin kita menemui ibu dan ayah serta golongan yang lebih berisiko seperti berusia 60 tahun ke atas, jadi kebarangkalian untuk kita menyebarkan pandemik ini adalah sangat tinggi," katanya.

Sekiranya berlaku, justeru katanya, hasrat kerajaan mahu mengawal penularan Covid-19 di kawasan Lembah Klang dibimbangi menular pula ke kawasan yang masih lagi hijau iaitu tiada kes positif.

"Andainya terjadi, tentulah akan menjadi satu usaha yang berpanjangan sedangkan kita semua sudah rasa letih.

"Semua pasukan 'frontliners' (pasukan barisan hadapan) juga sudah rasa letih bekerja keras. Jadi marilah kita sama-sama berusaha memainkan peranan, memahami hasrat ini dan bertindak sepertimana yang kerajaan pohon daripada rakyat," katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini 14 Oktober hingga 27 Oktober depan.

ANGGOTA polis melaksanakan sekatan jalan raya mulai 12.01 tengah malam di Lebuh Sentosa, Putrajaya menghala ke Lebuhraya MEX susulan PKPB bermula 14 hingga 27 Oktober. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ANGGOTA polis melaksanakan sekatan jalan raya mulai 12.01 tengah malam di Lebuh Sentosa, Putrajaya menghala ke Lebuhraya MEX susulan PKPB bermula 14 hingga 27 Oktober. FOTO Mohd Fadli Hamzah

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2020 @ 11:02 AM