MAZLAN bersama jawatankuasa memantau memeriksa pemantuhan SOP di sekitar bandar Jerantut. FOTO ROSELAN AB MALEK
MAZLAN bersama jawatankuasa memantau memeriksa pemantuhan SOP di sekitar bandar Jerantut. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek

Jerantut: Polis daerah ini memantau sekolah dan masjid di daerah berkenaan pada setiap hari untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dipatuhi.

Ia dijalankan dengan bekerjasama pengurusan sekolah melalui pegawai penjaga sekolah dan pegawai penjaga masjid.

Ketua Polis Daerah Jerantut Superintendan Mazlan Hassan berkata, kedua-dua premis itu diberi tumpuan kerana ia membabitkan bilangan individu yang ramai.

"Kita akan ambil tindakan tegas terutamanya di kawasan tumpuan ramai seperti kawasan riadah, restoran, pasar raya dan tempat awam.

"Pada operasi hari ini, kita dapati semua premis yang diperiksa mematuhi SOP," katanya hari ini.

Operasi pemantauan dijalankan di sekitar bandar Jerantut yang turut disertai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Jerantut selain Angkatan Pertahanan Awam (APM) Jerantut.

Pemantauan dijalankan di pasar besar Jerantut, Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Sungai Jan, Pasaraya TF dan kedai makan Loong Kee, Sungai Jan.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut akan melaksanakan sekatan jalan raya mulai esok bermula jam 1 pagi hingga jam 5 pagi di Kampung Temin dan Jalan Temerloh-Jerantut," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2020 @ 4:43 PM