MOHD Rosdi (empat kanan) ketika meninjau pematuhan di sebuah kuil di Serdang. FOTO Ihsan Polis.
MOHD Rosdi (empat kanan) ketika meninjau pematuhan di sebuah kuil di Serdang. FOTO Ihsan Polis.
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Operasi Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sekitar daerah ini, semalam menyaksikan pematuhan tinggi penganut Hindu terhadap prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Mohd Rosdi Daud berkata, selain kuil, pihaknya turut memantau premis perniagaan yang mendapati sembilan kompaun terpaksa dikeluarkan kerana melanggar SOP.

"Secara keseluruhan, kebanyakan orang awam mematuhi peraturan (semalam), berdasarkan pemantauan di kuil dan lokasi tumpuan awam.

"Operasi ini dijalankan setiap hari oleh anggota empat balai di bawah pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang," katanya ketika ditemui selepas mengetuai Operasi Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Puchong di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Rosdi berkata, ketika operasi kelmarin, pihaknya menerima lima laporan selain sembilan kompaun dikeluarkan terhadap individu yang melakukan kesalahan antaranya, tiada penjarakan fizikal, tidak mendaftar aplikasi MySejahtera atau menulis rekod pada buku disediakan.

Katanya, dalam tempoh 18 Mac lalu hingga semalam, 1,809 individu dikompaun selain 529 individu ditahan kerana melanggar SOP mencegah Covid-19.

"Sebanyak 755 laporan polis dengan 231 kertas siasatan dibuka sepanjang tempoh berkenaan, dengan 205 kertas siasatan dituduh di mahkamah, manakala 26 lagi tiada tindakan lanjut (NFA).

"Selain itu, 428 individu yang juga orang kena tuduh (OKT) sudah didakwa di mahkamah," katanya

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 8:52 AM