ANTARA individu dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi operasi yang dijalankan di sekitar kawasan Bandar Tenggara dan Taman Kota Jaya, Kota Tinggi. FOTO Ihsan PDRM Johor
ANTARA individu dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi operasi yang dijalankan di sekitar kawasan Bandar Tenggara dan Taman Kota Jaya, Kota Tinggi. FOTO Ihsan PDRM Johor
Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: Seramai 40 individu dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menerusi operasi di sekitar kawasan Bandar Tenggara dan Taman Kota Jaya, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, sepasukan polis daripada Task Force Covid-19 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi menjalankan operasi di sebuah pasar tani, pasar raya (3), pusat snuker (2) dan kedai makan (2) pada semalam dan hari ini.

Beliau berkata, semua individu berusia antara 21 hingga 38 tahun yang dikompaun itu gagal memakai pelitup muka di tempat awam dan mematuhi elemen penjarakan fizikal mengikut SOP PKPP.

"Ketika operasi dijalankan, didapati mereka gagal mematuhi SOP dan protokol ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mencegah penularan pandemik wabak Covid-19.

"Serbuan dilakukan di kawasan kedai makan mendapati segelintir pelanggan tidak mematuhi penjarakan fizikal di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hussin berkata, kompaun RM1,000 dikeluarkan mengikut Perkara 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No.7) 2020.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Oktober 2020 @ 7:23 PM