GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Hanya kerana 'kedekut' untuk membeli pengimbas suhu berharga kurang RM30, seorang pemilik restoran dikompaun serta merta RM1,000.

Peniaga adalah antara segelintir individu di daerah ini yang enggan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) meskipun sudah memasuki hari ketiga.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, dalam operasi pertama itu, pemilik restoran terbabit dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Hasil pemeriksaan mendapati pemilik restoran tidak mematuhi beberapa aspek SOP iaitu penyediaan pintu laluan masuk dan keluar serta alat pengesan suhu badan," katanya selepas melakukan pemantauan pematuhan PKPB di beberapa lokasi di daerah ini, tadi.

Beliau berkata, dalam operasi kedua di Tanjong Karang, seorang individu turut dikompaun kerana tidak mengikut SOP iaitu mengamalkan penjarakan fizikal.

"Polis sudah mengambil tindakan (kompaun) terhadap individu terbabit yang tidak mematuhi peraturan (SOP)," katanya.

RAMLI (kanan) bertanya sesuatu kepada pengurus sebuah pasar raya sempena lawatan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuala Selangor. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
RAMLI (kanan) bertanya sesuatu kepada pengurus sebuah pasar raya sempena lawatan pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuala Selangor. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin

Mengulas mengenai pemantauan yang dilakukan semalam, Ramli berkata, pihaknya memberi dua amaran kepada sebuah restoran dan kedai menjual permaidani yang tidak mengikut SOP ditetapkan.

"Kami memberi tempoh sehingga jam 4 petang ini kepada kedua-dua pemilik premis supaya mengikut SOP yang ditetapkan.

"Sekiranya ingkar, polis tidak teragak-agak mengambil tindakan penguatkuasaan termasuk mengenakan kompaun," katanya.

Beliau berkata, polis akan melakukan pemantauan setiap hari di kawasan tumpuan orang ramai terutamanya restoran dan pasar raya.

"Orang ramai diingatkan agar mematuhi SOP ditetapkan. Sekiranya tidak mengikut peraturan, tindakan kompaun akan diambil," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2020 @ 6:25 PM