Shamran Sarahan

Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan memberikan notis mencukupi kepada rakyat negara ini sekiranya ada keperluan untuk menyekat pergerakan rentas negeri.

Perdana Menteri berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan berbincang dan membuat keputusan mengenainya bagi memastikan tidak ada sesiapa yang terkandas sekiranya sekatan itu dilaksanakan.

Beliau turut mengumumkan penangguhan sekatan pergerakan antara Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan yang sepatutnya berkuat kuasa mulai esok kepada 12 Oktober depan.

Katanya, beliau sudah berbincang dengan Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membuat keputusan bagi memberi lebih banyak masa sebelum sekatan itu dilakukan.

"Keputusan ini saya buat bagi mengelakkan ramai penumpang yang bakal terkandas akibat kesuntukan masa membuat perubahan kepada jadual perjalanan mereka.

"Tarikh baru sekatan pergerakan antara negeri Sabah dengan Semenanjung, Sarawak dan Labuan akan berkuat kuasa mulai 12 Oktober, jam 12.01 tengah malam hingga 25 Oktober," kata Muhyiddin ketika Perutusan Khas Situasi Semasa Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kerajaan juga meneliti cadangan untuk mengehadkan majlis dan perhimpunan orang ramai bagi mengurangkan kebarangkalian jangkitan wabak Covid-19.

Beliau berkata, ia termasuk persidangan besar, kenduri kahwin serta majlis perhimpunan orang ramai.

"Bagaimanapun, kerajaan akan mendapatkan input dari KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) terlebih dahulu sebelum melaksanakannya termasuk cadangan mengadakan SOP (prosedur operasi standard) tambahan jika perlu.

"Yang amat dikehendaki pada masa ini ialah kita semua mesti patuh kepada SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

"Petugas barisan hadapan dari agensi penguatkuasaan akan dikerah semula ke tempat awam untuk memastikan pematuhan.

"Jika ada yang melanggar undang-undang, hukuman kompaun dan lain-lain akan dikenakan tanpa mengira pangkat dan darjat," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 7:26 PM