Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa Op Benteng pada masa ini adalah untuk mengusir pendatang asing tanpa izin (Pati) bukannya menangkap dan menahan.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi meminimumkan risiko jangkitan Covid-19 dalam pusat tahanan.

Katanya, Op Benteng memfokuskan kepada usaha menyekat kemasukan Pati yang mempunyai kebarangkalian atau risiko menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

"Kawalan ketat di sempadan negara menerusi Op Benteng ini adalah secara bersepadu membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan agensi lain.

"Bukan sahaja mencegah sempadan negara dibolosi Pati namun pada masa sama mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak Covid-19.

"Seramai 7,974 Pati, 775 tekong dan 330 penyeludup ditahan manakala 217 bot atau kapal dan 847 kenderaan turut berjaya dirampas oleh pasukan keselamatan menerusi Op Benteng bagi tempoh 1 Mei sehingga 2 November (semalam)," katanya.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ke-231 dan hari ke-147 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menurutnya, semalam, Op Benteng berjaya menahan 46 Pati serta merampas empat kenderaan darat.

"Sebanyak 300 Sekatan Jalan Raya (SJR) Op Benteng juga dilakukan di seluruh negara yang membabitkan PDRM (226 SJR), ATM (65 SJR) dan Aksem (sembilan SJR).

"Orang ramai diminta untuk menghubungi hotline National Task Force di talian 011 6251 1223 untuk terus menyalurkan maklumat berkenaan Pati dan jenayah rentas sempadan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 November 2020 @ 7:49 PM