Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tidak memakai pelitup muka masih menjadi kesalahan tertinggi dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam dengan 223 kesalahan membabitkan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesalahan lain dikesan ialah penjarakan fizikal (191) dan gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (112).

Menurutnya, langgar syarat/perintah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pula (75), aktiviti pusat hiburan tanpa lesen (45) dan lain-lain (15).

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

"Secara keseluruhan seramai 661 individu ditahan polis semalam dengan 632 individu dikompaun, 27 direman dan dua dijamin.

"Masih ada individu yang memandang remeh isu pemakaian pelitup muka tetapi perlu diingatkan tindakan akan diambil oleh polis jika ingkar arahan dan harap mereka patuh kepada setiap arahan.

"Jika gagal bukan sahaja individu diambil tindakan tetapi premis juga boleh dikenakan tindakan di mana bukan sekadar kompaun tetapi premis boleh ditutup," katanya pada sidang maya, di sini, hari ini.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, Ops Benteng semalam berjaya menahan 72 pendatang asing tanpa izin (PATI), dan merampas 35 kenderaan darat.

Katanya, sebanyak 261 Sekatan Jalan Raya (SJR) Ops Benteng juga dilakukan di seluruh negara.


"Dari 24 Julai sehingga semalam, seramai 50,254 individu sudah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

"Daripada jumlah itu, seramai 8,151 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 69 hotel dan 15 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Tinggi Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan," katanya.

Beliau berkata, seramai 381 individu pula dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 41,722 individu didiscaj dan dibenarkan pulang ke rumah.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Oktober 2020 @ 5:44 PM