MENDIANG Datuk Liew Vui Keong. FOTO Malai Rosmah Tuah
MENDIANG Datuk Liew Vui Keong. FOTO Malai Rosmah Tuah
BERNAMA

Tuaran: Kerajaan Negeri Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata kerajaan negeri juga berharap keluarga mendiang bersabar menghadapi ujian itu.

"Kerajaan negeri Sabah mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang, saya harap keluarga mendiang bersabar dan dapat menerima ketentuan tuhan yang Maha Esa," katanya kepada pemberita selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Haji Noor, Kampung Serusup di sini hari ini.

Liew meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat jangkitan pada paru-paru.

Mendiang sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.

Liew, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi undang-undang serta Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah.

Liew yang juga seorang peguam, meninggalkan isteri Datin Dr Lindai Lee dan empat orang anak.

Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr berkata, parti itu kehilangan seorang pemimpin yang cukup dihormati yang menyumbang kepada negara serta negeri menerusi kerja keras serta dedikasi.

Katanya parti itu berasa cukup sedih dengan kematian Liew dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

"Presiden parti Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah dimaklumkan mengenai berita sedih ini dan beliau menyampaikan ucapan takziah kepada Datin Lindai Lee dan empat anaknya.

"Keluarga mendiang mohon masyarakat memberi mereka ruang bagi menghadapi tempoh sukar ini. Urusan pengebumian akan dimaklumkan apabila tiba masanya," katanya dalam kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 4:49 PM