Seorang anggota RELA sedang mengawal keadaan lalu lintas di pekarangan rumah mendiang Anggota Parlimen Batu Sapi. FOTO BERNAMA
Seorang anggota RELA sedang mengawal keadaan lalu lintas di pekarangan rumah mendiang Anggota Parlimen Batu Sapi. FOTO BERNAMA
Yun Mikail

KOTA KINABALU: "Mendiang seorang abang yang ceria setiap kali bersama keluarga.

"Malahan mendiang juga seorang yang pemurah disebabkan suka menjemput serta menjamu anggota keluarga dan rakan-rakan rapat datang ke rumah untuk makan bersama.

"Kita pasti akan merindu mendiang selepas ini," kata adik kepada mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, Peter Liew.

Ditemui ketika berada di kediaman mendiang, Peter berkata dia berada lobi Pusat Perubatan Gleneagles (GMC) sewaktu pihak hospital memaklumkan abangnya itu sudah meninggal dunia.

Peter berkata pihaknya masih belum menerima laporan penuh bedah siasat namun setakat ini difahamkan abangnya meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman pada paru-paru.

Mengulas lanjut mengenai sakit dialami Liew, Peter menyatakan abangnya mula dimasukkan ke GMC pada 9 September lalu selepas mengalami kekejangan pada bahagian paha serta pinggul sebelah kiri.

"Mendiang ada memberitahu beliau terlalu sibuk sebelum musim kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bermula.

"Beliau perlu duduk lama di dalam kereta kerana menggunakan jalan darat selama hampir lima jam ke beberapa lokasi termasuklahSandakan, Keningau dan Ranau," katanya sebak.

Sementara itu, Peter menyatakan mayat mendiang Liew bakal disemadikan di Nirvana Memorial Park, Telipok pada Isnin ini.

Terdahulu, Liew disahkan meninggal dunia pada jam 11.50 pagi tadi.

Mendiang liew menghembuskan nafas terakhir pada usia 60 tahun dan perkara itu disahkan sendiri pegawai mendiang ketika dihubungi.

Berasal dari Kota Belud, mendiang dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu meninggalkan isteri, Datin Dr Lindai Lee dan empat anak.

Mendiang juga sebelum ini pernah memegang jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 10:15 PM