KENDERAAN pacuan empat roda yang membawa Ab Aziz Yusof terkandas akibat lumpur. FOTO RAMLI IBRAHIM
KENDERAAN pacuan empat roda yang membawa Ab Aziz Yusof terkandas akibat lumpur. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Penduduk Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, terpaksa menunggang motosikal meredah jalan berlumpur sejauh 20 kilometer untuk keluar ke bandar ini.

Ia berikutan jalan balak yang menjadi nadi perhubungan utama ke bandar ini masih mengalami kerosakan teruk dalam kejadian banjir lumpur dua minggu lalu.

Seorang penduduk Orang Asli, Samuri Along, 46, berkata, penduduk terpaksa meredah lumpur kerana mahu keluar ke bandar membeli barang keperluan.

"Kami terpaksa melalui titian kayu yang dibina sendiri penduduk ketika menyeberangi tiga anak sungai kerana jambatan turut runtuh.

"Dia mendakwa, setakat ini pihak terbabit belum membaiki jalan yang rosak dan membina semula jambatan yang runtuh menghubungi Pos Gob dan Simpor.

"Kami tidak mampu lagi untuk membaiki secara gotong-royong sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini. Ini kerana kerosakan jalan itu terlalu jauh hingga melebihi 20 Kilometer dan tiga jambatan kayu juga perlu dibina baharu memerlukan kos," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Dalam kejadian banjir lumpur terburuk pada 1 pagi, 12 September lalu di Pos Gob, sebanyak 169 keluarga membabitkan hampir 500 penduduk terpaksa lari menyelamatkan diri atas bukit.

Berikutan kejadian itu, tanaman mereka termasuk pisang dan ubi kayu musnah dibawa arus, selain jalan rosak dan tiga jambatan runtuh.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusof mengakui jalan ke Pos Balar rosak teruk yang perlu dibaik pulih segera.

Menurutnya, beliau cuba ke Pos Gob semalam untuk meninjau kerosakan jalan itu bersama tiga jambatan yang runtuh namun terpaksa berpatah balik.

"Tindakan itu terpaksa diambil kerana bahaya kepada keselamatan dan kenderaan pacuan empat roda juga tidak dapat melepasi jalan yang rosak itu.

"Apapun kita akan cuba redah jalan berlumpur ke pos terbabit sekali lagi dalam terdekat ini kerana ingin pastikan berapa kos baik pulih jalan dan pembinaan jambatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 10:58 AM