JALAN dan jambatan runtuh di laluan Pos Tohoi, Simpor dan Gob. FOTO Ramli Ibrahim
JALAN dan jambatan runtuh di laluan Pos Tohoi, Simpor dan Gob. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

AKITIVITI harian lebih 7,000 Orang Asli di pedalaman Gua Musang terjejas apabila mereka terputus hubungan selepas jambatan runtuh dan jalan tertimbus, empat hari lalu.

Antara pos Orang Asli terjejas ialah Pos Tohoi, Simpor, Gob, Belatim dan Bihai.

Kejadian Jumaat lalu itu berikutan limpahan air sungai dan banjir lumpur selepas hujan lebat lebih enam jam.

Penghulu Pos Bihai, Alang Segan berkata, keseluruhan Orang Asli di sekitar pos terbabit terpaksa berkurung di rumah kerana terkepung dengan jalan terputus.

Malah, katanya mereka juga terpaksa berdepan dengan masalah kehabisan makanan dan sukar untuk ke bandar.

Dia berkata, penduduk turut berusaha membaiki jalan yang tertimbus dan berselut.

"Bagaimanapun, kita mengharapkan kerajaan dapat mengambil tindakan segera untuk membaikinya supaya penduduk tidak terkepung dengan masalah itu terlalu lama.

"Ini adalah pertama kali berlaku keadaan seumpama itu dan sebelum ini hanya kerosakan jalan sahaja apabila hujan," katanya di Gua Musang, hari ini.

Penduduk Pos Belatim, Saa Alang, 33, berkata, terdatan runtuh di sekurang-kurangnya enam lokasi di jalan balak dari Pos Bihai menghubung Pos Belatim.

Selain itu, katanya, dua jambatan kayu juga runtuh apabila air sungai melimpahi tebing.

"Kejadian kerosakan jalan itu paling teruk tahun ini hingga menjejas kami bukan sahaja untuk ke bandar ini, tetapi juga mencari sumber rezeki di hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 11:11 AM