Jalan ke Pos Gob rosak teruk selepas berlaku banjir musim tengkujuh akhir tahun lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Jalan ke Pos Gob rosak teruk selepas berlaku banjir musim tengkujuh akhir tahun lalu. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Membawa 300 bakul makanan untuk diagihkan kepada masyarakat Orang Asli di Pos Gob, di sini, tetapi perlu mengharungi perjalanan selama 12 jam sebelum tiba di penempatan itu.

Begitu cabaran perlu didepani pasukan bantuan apabila terpaksa melalui jalan rosak teruk sejauh 80 kilometer dan tujuh jambatan kayu yang runtuh sejak tujuh bulan lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nenggiri, Ab Aziz Yusoff berkata, perjalanan untuk tiba di pos berkenaan disifatkan paling lama berbanding sebelum ini hanya enam jam sahaja.

Katanya, mereka mula bertolak pada 10 pagi dan akan sampai sekitar 9 malam dengan melalui jalan berselut dan jambatan runtuh.

"Pemergian ke Pos Gob terbabit tidak boleh lagi pulang semula dalam masa sehari dan terpaksa bermalam di situ sebelum balik keesokkan hari.

"Kita mengakui penduduk Orang Asli di Pos Gob juga sudah lama tidak dapat keluar ke bandar ini untuk membeli barang keperluan kerana masalah perhubungan," katanya di sini, hari ini.

Turut serta dalam konvoi 10 pacuan empat roda ke Pos Gob adalah Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan/Terengganu, Shafie Abas.

Ab Aziz berkata, masyarakat Orang Asli di situ juga berkurung di dalam rumah selain takut untuk keluar membeli barang keperluan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi dengan masalah jambatan runtuh dan jalan rosak teruk yang belum dibaiki sepenuhnya.

"Memang ada beberapa tempat dibina secara gotong-rotong, tetapi untuk laluan motosikal sahaja," katanya.

Katanya, kerajaan baru-baru ini membaiki jalan itu tetapi masih tinggal baki sejauh 15 kilometer menuju ke Pos Gob.

"Kerajaan sedang dalam proses mengeluarkan tender bagi membina tujuh jambatan konkrit, tetapi perlu mengambil masa untuk disiapkan," katanya.

Ab Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada Orang Asli di Pos Gob yang terkesan menghadapi PKP penuh 3.0. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ab Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan bakul makanan kepada Orang Asli di Pos Gob yang terkesan menghadapi PKP penuh 3.0. FOTO RAMLI IBRAHIM

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 2:07 PM