Air sungai di Pos Gob surut semula awal pagi semalam, tetapi penduduk Orang Asli masih berselindung atas bukit kerana takut kejadian berulang hari ini apabila hujan lebat.
Air sungai di Pos Gob surut semula awal pagi semalam, tetapi penduduk Orang Asli masih berselindung atas bukit kerana takut kejadian berulang hari ini apabila hujan lebat.
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Hampir 500 penduduk Orang Asli di Pos Gob, dekat sini, terperangkap di atas bukit selepas kampung mereka dilanda banjir lumpur, Sabtu lalu.

Banjir lumpur akibat hujan lebat lebih enam jam itu hampir memusnahkan kawasan penempatan mereka, selain semua tanaman rosak dan tiga jambatan runtuh.

Penghulu Pos Gob, Uda Alang berkata, kejadian berlaku pada jam 1 pagi, dan mereka terpaksa menyelamatkan diri dengan melarikan diri ke atas bukit berhampiran penempatan mereka.

Katanya, sehingga hari ini penduduk terdiri daripada 169 keluarga belum dapat pulang ke rumah.

"Rumah dan tanaman rosak, pada masa sama kami hampir terputus bekalan makanan kerana sudah tiga hari terperangkap di sini.

"Nasib baik kami sempat membawa sedikit makanan ketika menyelamatkan diri, tetapi hampir habis menyebabkan kami terpaksa pucuk kayu di sekitar kawasan ini," katanya di sini, hari ini.

Menceritakan semula kejadian, Uda berkata, sebelum kejadian, hujan lebat mulai 6 petang dan berlarutan sehingga 1 pagi.

Uda Alang.
Uda Alang.

Katanya, keadaan itu menyebabkan air sungai melimpah.

"Jadi, saya mengarahkan semua penduduk dan lari menyelamatkan diri ke atas bukit berhampiran sebelum air surut semula jam 7 pagi.

"Bagaimanapun, kami tidak dapat pulang ke rumah kerana ada sebahagiannya rosak, selain dipenuhi lumpur," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Semail Angah, 45, berkata, dia terkejut melihat keadaan air sungai yang menaik mendadak.

Katanya, pada malam kejadian, dia tidak dapat tidur kerana bimbang keselamatan keluarga.

"Lebih menyedihkan banyak tanaman termasuk pisang dan ubi kayu yang menjadi sumber makanan musnah.

"Kini, kami semua terputus makanan kerana tidak dapat keluar ke bandar susulan jalan rosak teruk serta tiga jambatan runtuh," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Ab Aziz Yusof berkata, beliau menerima maklumat berhubung kejadian itu pagi semalam.

Beliau berkata, mereka sudah berusaha untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk, tetapi agak sukar kerana laluan terputus.

"Insya Allah kita akan hantar makanan pagi esok, mungkin akan menggunakan helikopter," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 4:39 PM