GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengutip RM1.98 juta melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) membabitkan nombor siri pendaftaran kenderaan DDV dalam tempoh seminggu.

Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kutipan itu bermula 17 September sehingga Isnin lalu dan ia adalah kutipan terbesar bidaan bagi nombor siri DDV, berbanding nombor siri pendaftaran lain.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya hanya mensasarkan jumlah kutipan hasil siri pendaftaran DDV sebanyak RM1.5 juta, namun ia menjangkaui sasaran awal sehingga mencecah bidaan RM1.98 juta.

"Nombor pendaftaran DDV 1 mendapat bidaan tertinggi iaitu RM250,000 membabitkan 11 pembida dan ia adalah jumlah bidaan JPJeBID tertinggi bagi seluruh negara pada tahun ini.

"Bagaimanapun, pada 2019 rekod tertinggi bidaan adalah plat ALL 1 iaitu sebanyak RM278,000 sejak sistem JPJeBID diperkenalkan.

"Mana-mana nombor pendaftaran berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sesebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran dikeluarkan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hanif Yusabra berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DDU, jumlah kutipan hasil JPJ Kelantan sebanyak RM8,467,787.

Beliau berkata, baki nombor pendaftaran tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam mengikut harga minimum seperti kategori Nombor Bernilai Utama RM20,000; Nombor Menarik bernilai antara RM2,000 hingga RM3,000, Nombor Popular RM500, manakala Nombor Semasa RM300.

"Orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran ini boleh berurusan di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan.

"Selain itu, mereka disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara dalam talian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 September 2020 @ 5:59 PM