Ahmad Hasbi


Seremban: Nombor pendaftaran NDT 1 mencatatkan bidaan tertinggi bernilai RM140,100 sejak pelaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan April 2019.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, bermula dengan siri NDN hingga NDT, jumlah kutipan hasil JPJ Negeri Sembilan menerusi JPJeBID adalah sebanyak RM6.89 juta.

"JPJ Malaysia dengan ini melancarkan bidaan siri nombor nombor pendaftaran NDU bagi Negeri Sembilan melalui sistem JPJeBID yang akan berlangsung selama lima hari bermula jam 12.01 tengah malam 20 Mac hingga jam 10 malam 24 Mac.

"Kami menjangkakan nombor siri pendaftaran NDU ini akan meningkat berbanding siri sebelum ini dengan menyasarkan jumlah kutipan hasil melebihi RM1.3 juta," katanya pada sidang akhbar Pelancaran Nombor Siri NDU di sini, tadi.

Hanif Yusabra (tengah) menunjukkan siri nombor pendaftaran bagi Negeri Sembilan pada pelancaran siri nombor pendaftaran "NDU" melalui sistem JPJeBid di Taman Perindustrian Oakland. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Hanif Yusabra (tengah) menunjukkan siri nombor pendaftaran bagi Negeri Sembilan pada pelancaran siri nombor pendaftaran "NDU" melalui sistem JPJeBid di Taman Perindustrian Oakland. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Beliau berkata, bidaan nombor siri sebelum ini pernah mencatatkan jumlah RM1.1 juta dengan nombor NDT 1 mencatatkan bidaan paling tinggi iaitu sebanyak RM140,100.

"Kami menjangkakan akan berlaku peningkatan dalam bidaan siri nombor NDU ekoran keadaan ekonomi yang semakin pulih selain berlakunya peningkatan pengeluaran kenderaan ketika ini.

Ulas beliau, JPJeBID menawarkan ketelusan bermula daripada transaksi pendaftaran sehingga pembayaran selain persekitaran sistem keselamatan yang terjamin.

"Pelaksanaan inisiatif pembangunan JPJeBID adalah langkah drastik JPJ dalam memberikan manfaat jangka panjang kepada rakyat selain meningkatkan kecekapan pengurusan nombor kenderaan.

"Sehubungan itu, pendaftaran boleh dilakukan diportal JPJeBID atau melalui aplikasi telefon pintar JPJeBID. Ia terbuka kepada warganegara dan penduduk tetap berusia 18 tahun ke atas.

"Kaedah pembayaran bidaan dalam JPJeBID adalah hanya menggunakan kad kredit dan kad debit tempatan sahaja, namun pembida individu hanya dibenarkan memenangi tiga nombor manakala bagi syarikat dibenarkan lima nombor," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mac 2022 @ 5:29 PM