GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Kelantan mencatatkan kutipan sebanyak RM2.04 juta hasil pendaftaran siri DEL.

Bidaan yang dibuat menerusi JPJeBid itu dilakukan selama lima hari bermula 21 hingga 25 Julai lalu.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan jumlah kutipan hasil siri pendaftaran DEL sebanyak RM2.0 Juta namun selepas bidaan ditutup, rekod kutipan hasil mencecah RM2.04 juta sekaligus melangkaui jangkaan yang disasarkan.

"Bilangan pengguna berdaftar dengan JPJeBid adalah seramai 857,569 dengan jumlah keseluruhan pembida adalah 2,292.

"Harga bidaan tertinggi adalah RM95,088 untuk siri DEL7 manakala paling banyak dibida adalah DEL 11 dengan harga RM58,000 membabitkan 14 pembida," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Misuari berkata, mana-mana nombor pendaftaran yang berjaya dibida mestilah didaftarkan pada sebuah kenderaan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh surat tawaran yang dikeluarkan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan.

Katanya, orang awam yang berminat untuk mendapatkan baki nombor pendaftaran itu boleh berurusan di Pejabat JPJ negeri atau cawangan selain disarankan untuk memiliki ID mySIKAP awam bagi mendapatkan senarai nombor semasa yang masih belum didaftarkan lagi dan seterusnya membeli secara atas talian.

"Baki nombor pendaftaran yang tidak dibida akan dibuka kepada umum untuk dibeli orang awam mengikut harga minimum yang ditetapkan.

"Sepanjang tempoh perlaksanaan sistem JPJeBID diperkenalkan bermula dengan siri DDP hingga DEL, jumlah kutipan hasil JPJ Kelantan adalah sebanyak RM 37,855,689," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Julai 2022 @ 4:16 PM