Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Penolong Pegawai Pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM16,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Fazdly Abdul Razak, 42, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Fazdly didakwa menerima wang berjumlah RM10,000 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada seorang lelaki, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya, di sebuah bank tempatan di Masai, pada 13 Jun 2018.

Mohd Fazdly turut didakwa menerima wang berjumlah RM1,500 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada lelaki sama, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di sebuah bank tempatan di Taman Johor Jaya, pada 4 Julai 2018.

Dia juga didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 yang didepositkan ke dalam akaun tertuduh daripada lelaki sama, yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya di sebuah bank tempatan di Masai, pada 18 Julai 2018.

Bagi kesemua kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Mahirah Mohd Pauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Nur Mahirah memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.

Namun, tertuduh merayu jaminan berkenaan dikurangkan berikutan beliau terpaksa menggadai tanah pusaka di kampung selain perlu menanggung tiga anak berusia antara tujuh hingga 14 tahun, isteri yang tidak bekerja selain ibu mentuanya yang menderita barah rahim tahap tiga.

Hakim kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di Pejabat SPRM berhampiran sekali setiap bulan.

Sebutan semula ditetapkan pada 26 Oktober depan bagi penyerahan dokumen.

Mohd Fazdly mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM16,000, dua tahun lalu di  Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED
Mohd Fazdly mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM16,000, dua tahun lalu di Mahkamah Sesyen, Johor Bahru. FOTO ZAIN AHMED

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2020 @ 10:19 AM