Asrol Awang


Kuantan: Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor mengaku tidak bersalah atas 13 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM28,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohamad Sulhan Zainon, 51, didakwa menerima suapan daripada pemilik syarikat perkapalan atas dorongan tidak melakukan pemeriksaan dan tindakan terhadap kapal milik syarikat itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan antara RM2,000 hingga RM4,000 daripada pengarah syarikat perkapalan melalui secara pindahan wang ke akaun bank miliknya antara April 2019 hingga 27 November 2020.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman dengan tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, tertuduh yang mengaku tidak bersalah dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 dan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 30 Jun depan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor Mohamad Sulhan Zainon, 51 tidak mengaku salah menerima suapan di Mahkamah Sesyen, Kuantan. FOTO Asrol Awang
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor Mohamad Sulhan Zainon, 51 tidak mengaku salah menerima suapan di Mahkamah Sesyen, Kuantan. FOTO Asrol Awang

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Shukri Mohamed.

Sementara itu, di mahkamah sama, Bitara Kanan Maritim Zon Sedeli, Mohd Rusdi Mohd Joha, 47, didenda RM4,500 selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan rasuah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan RM3,000 daripada pemilik sebuah syarikat perkapalan sebagai dorongan melepas sebuah kapal daripada ditahan, diperiksa dan diambil tindakan.

Tertuduh didakwa menerima suapan itu melalui pindahan wang secara dalam talian masing-masing berjumlah RM1,000 ke akaun bank miliknya antara April 2020 hingga Jun 2020.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya meminta tidak dikenakan hukuman penjara kerana bimbang kehilangan pekerjaan dan hanya didenda atas alasan terpaksa menanggung isteri dan empat anak.

Mengambil kira rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan, Ahmad Zamzani menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara selama dua bulan jika gagal menjelaskan denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 4:53 PM