Tertuduh, Mohd Amin Muhammad N Hushaimi (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi tuduhan menerima suapan berjumlah RM72,200. FOTO MOHD AMIN JALIL
Tertuduh, Mohd Amin Muhammad N Hushaimi (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban bagi tuduhan menerima suapan berjumlah RM72,200. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


SELEPAS dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua tuduhan menerima rasuah semalam, bekas jurutera awam Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Amin Muhammad N Hushaimi, menghadapi lapan lagi pertuduhan menerima rasuah di Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini.

Tuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM72,200 itu berhubung projek membabitkan stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Komuter daripada Disember 2015 hingga Julai 2017.

Tertuduh berusia 36 tahun dari Setia Alam, Shah Alam, Selangor itu mengaku tidak bersalah sebaik kelapan-lapan pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Madiha Abdullah.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama hingga ke empat, tertuduh didakwa sebagai pegawai badan awam iaitu Jurutera Awam, Jabatan Pengurusan Projek KTMB (ketika itu) secara rasuah menerima suapan daripada Amizah Ahmad, berjumlah setiap satu RM10,000 berjumlah keseluruhan RM40,000.

Bagi pertuduhan kelima hingga ke lapan pula, tertuduh didakwa menerima suapan daripada Syarikat Intelligent Essence Sdn Bhd membabitkan rasuah RM16,000, RM8,000, RM3,000 dan RM5,200.

Tertuduh didakwa menerima suapan berkenaan melalui akaun bank CIMB milik adik ipar bernama Azizi Kassem.

Suapan itu adalah sebagai dorongan kepada tertuduh selaku pengurus projek untuk tidak mengesyorkan surat arahan berhenti kerja sementara, ekoran faktor keselamatan di tapak projek yang dikeluarkan bagi cadangan tambahan dan pengubahsuaian Stesen LRT Abdullah Hukum sedia ada dan cadangan pembangunan sebuah Stesen KTM Komuter tiga tingkat di atas sebahagian tanah rizab kereta api.

Selain itu, projek lain juga ialah cadangan pembangunan mendirikan sebuah Stesen Komuter Bersepadu Kajang 2 serta kemudahan lain, antaranya pejabat pengurusan, kiosk jualan tiket, pusat penerangan pelancongan dan jejantas pejalan kaki berbumbung.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Cawangan Nilai, Taman Semarak, Nilai antara Disember 2015 hingga Julai 2017.

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut

Seksyen 24 akta sama.

Pertuduhan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Putrajaya Muhammad Asraf Mohamed Tahir yang mencadangkan wang jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Shahidah Muslimah Roslan, memohon mahkamah mengurangkan ikat jamin berkenaan dengan alasan tertuduh kini bekerja sendiri dengan menjual laksa sejak diberhentikan kerja.

"Tertuduh juga mempunyai tanggungan keluarga termasuk dua anak yang masing-masing berusia lima dan tujuh tahun serta seorang isteri.

"Tertuduh tidak mempunyai pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tiada rekod kesalahan lampau," katanya.

Selepas mendengar permohonan berkenaan, Madiha membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kesemua lapan pertuduhan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Muhammad Asraf ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata, pihaknya akan memohon agar kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Seremban.

"Saya akan memohon kepada mahkamah pada perbicaraan 23 September nanti agar dua kes tertuduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Seremban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 2:12 PM