Balqis Jazimah Zahari


BEKAS penjawat awam dihadapkan kali kedua ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000.

Tertuduh, Herman Ibrahim, 45, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak itu, dituduh melakukan semua kesalahan itu di tempat dan waktu yang berbeza ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima wang RM50,000 dengan tiada balasan daripada Zainab Nasir iaitu pemilik syarikat Ainaz Marketing di hadapan RHB Jalan Tun Sambanthan di Ipoh pada 21 November 2018.

Manakala pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang RM40,000 dengan tiada balasan daripada Zainab di lokasi sama pada tarikh berbeza 1 Februari 2019.

Bagi pertuduhan ketiga pula, dia didakwa menerima wang tunai berjumlah, RM18,000 dengan tiada balasan daripada Mohd Faitullah Idris iaitu pemilik Syarikat Shadess Event Planner di sekitar Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada 18 November 2018.

Bagi kesemua kesalahan itu, Herman dituduh mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin dan tertuduh diwakili peguam Khairilazwar Khalil.

Nurul Wahida meminta mahkamah menetapkan wang jaminan munasabah sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak, sebulan sekali.

Bagaimanapun, Khairilazwar memohon jaminan dikurangkan kepada RM7,000 bagi setiap pertuduhan kerana tertuduh sudah berkahwin dan menanggung tiga orang anaknya berusia antara 11 hingga 18 tahun yang masih belajar.

"Selain itu, tertuduh kini sudah berhenti kerja selepas 24 tahun berkhidmat dengan Pejabat SUK. Tertuduh juga sudah melaporkan di pejabat SPRM setiap bulan seperti diarahkan sebelum ini," katanya.

Hakim, S Indra Nehru, membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan kediamannya, sebulan sekali.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini, NSTP melaporkan, bekas penjawat awam itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh 17 Julai lalu terhadap tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM149,600.

BEKAS pegawai kebudayaan dihadapkan kali kedua ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000. FOTO Balqis Jazimah Zahari
BEKAS pegawai kebudayaan dihadapkan kali kedua ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas tiga lagi pertuduhan menerima suapan berjumlah RM108,000. FOTO Balqis Jazimah Zahari

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 11:33 AM