Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini merekodkan 57 kes positif baharu jangkitan Covid-19 dan menjadikan jumlah kumulatif penularan wabak itu kepada 10,276 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 49 kes.

"Enam daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu adalah berkaitan kes import membabitkan seorang warganegara dan lima bukan warganegara.

"Tiga kes membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia dan masing-masing satu kes pulang dari United Kingdom, Pakistan serta Zambia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 51 kes penularan tempatan yang membabitkan 45 warganegara dan enam bukan warganegara.

"Penularan tempatan itu adalah 49 kes di Sabah antaranya dari Kluster Pulau, Selamat, Benteng LD, Kuarters (kluster baharu), kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Queen Elizabeth dan kes saringan bergejala di hospital sama.

"Kes saringan tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort, saringan pelatih pusat rehabilitasi, saringan pra pembedahan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, pesakit Influenza (ILI) di Klinik Kesihatan Tawau, saringan kontak rapat kepada kes ke-9,390 dan saringan petugas kesihatan di Hospital Lahad Datu serta saringan rujukan ke Hospital Tawau.

"Kes lain dilaporkan daripada Kluster Sungai di Kedah dan saringan pembedahan Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, terdapat 40 kes yang pulih dan dibenarkan discaj hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 9,395 kes iaitu 91.43 peratus.

Beliau berkata, setakat ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 751 kes dan mereka sudah diasingkan serta diberi rawatan.

Tambah beliau, sembilan pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Namun, katanya, tiada kematian dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal 130 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2020 @ 6:08 PM