DATUK Seri Mustapa Mohamed (tengah) bergambar bersama ahli panel pada Seminar Pendapatan Garisan Kemiskinan (PGK) 2019 di SICC. FOTO ASWADI ALIAS.
DATUK Seri Mustapa Mohamed (tengah) bergambar bersama ahli panel pada Seminar Pendapatan Garisan Kemiskinan (PGK) 2019 di SICC. FOTO ASWADI ALIAS.
Oleh Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Tongod, Pitas dan Kota Marudu, yang masing-masing terletak di tengah dan utara Sabah dikenal pasti sebagai tiga daerah termiskin di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapha Mohamad, berkata kedudukan itu berdasarkan hasil kajian kemiskinan pada tahun lalu yang mendapati ketiga-tiga daerah itu mencatat kadar kemiskinan tertinggi.

Beliau berkata, walaupun ada kelompok lain di Semenanjung seperti orang asli turut dikenal pasti mencatat kadar kemiskinan yang tinggi dengan purata 40 peratus, namun perangkaan bagi ketiga-tiga daerah itu lebih tinggi.

"Kadar kemiskinan di Tongod, Pitas dan Kota Marudu ialah kira-kira 50 peratus. Di Semenanjung, kelompok orang asli mencatat kira-kira 40 peratus, jadi kadar kemiskinan di tiga daerah di Sabah itu adalah yang paling tinggi di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Katanya, Sabah menduduki tempat teratas sebagai negeri paling miskin di negara ini dengan 19.57 peratus berbanding 5.6 peratus kadar kemiskinan nasional.

"Selepas Sabah, negeri kedua tertinggi kadar kemiskinan ialah Kelantan dan diikuti Sarawak. Kadar itu akan digunakan bermula tahun depan sebagai panduan dalam melaksanakan program pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12)," katanya.

Ketika ditanya kenapa Sabah miskin sedangkan ia kaya dengan hasil minyak, beliau berkata perkara itu dapat diselesaikan menerusi rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, penyelesaian juga perlu dibuat dengan PETRONAS bagi memastikan hasil yang diperolehi dapat diagihkan untuk melaksanakan program pembasmian kemiskinan di negeri ini.

"Sabah bersama Sarawak, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah sememangnya diberikan perhatian dalam usaha merapatkan jurang pembangunan dan pendapatan menerusi pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama," katanya.

Mengenai sama ada kadar kemiskinan itu mungkin lebih tinggi berikutan Covid-19 pada tahun ini, beliau berkata kerajaan sudah mengambil langkah menerusi inisiatif Penjana bagi mengurangkan kesan pandemik itu kepada rakyat.

Katanya, pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada rakyat termasuk untuk golongan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) disasar untuk mengurangkan kesan buruk Covid-19.

Sementara itu, Timbalan Pengarah I, Bahagian Pembangunan Ekuiti, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Herman Abdul Hamid, berkata selain Tongod, Pitas dan Kota Marudu, dua lagi daerah yang mencatat kadar kemiskinan tinggi di Sabah ialah Beluran dan Telupid.

Ketika membentangkan Dapatan Kajian PGK 2019, Herman berkata Tongod mencatat 56.6 peratus kemiskinan,.diikuti Pitas (53.6), Kota Marudu (46.2), Beluran (45) dan Telupid 40.7 peratus.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2020 @ 2:33 PM