Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan negeri perlu mencari penyelesaian segera terhadap isu kemiskinan dan mengeluarkan lapan daerah termiskin di Sabah daripada kategori itu.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah yang lebih konkrit dan bersepadu perlu dilakukan bagi menoktahkan kemiskinan di daerah terbabit.

Katanya, kadar kemiskinan di daerah Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Ranau, Lahad Datu dan Tuaran itu mesti diturunkan sejajar komitmen kerajaan negeri menerusi hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Jika isu ini tidak diselesaikan segera ia akan merencatkan hala tuju SMJ kerana masih ada beberapa daerah di negeri dalam garis kemiskinan walaupun banyak kejayaan SMJ dilaungkan kerajaan negeri.

"Perlu ada tindakan dan penyelesaian bersepadu, jika tidak gagasan SMJ hanya dilihat retorik semata-mata, gagal mencapai matlamatnya dan dalam masa yang sama imej kerajaan negeri akan tercalar dan menggambarkan slogan SMJ tidak relevan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berhubung isu kemiskinan di Sabah yang menyatakan kadar kemiskinan tegar di lapan daerah terbabit lebih tinggi berbanding kadar nasional.

Katanya, Tongod mencatat kadar tertinggi iaitu 5.9 peratus, diikuti Beluran (lima peratus), Pitas (4.8 peratus), Kinabatangan (4.6 peratus), Kota Marudu (empat peratus), Tuaran (2.6 peratus) dan Ranau serta Lahad Datu masing-masing 2.4 peratus.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata walaupun kerajaan memberi tumpuan kepada sektor pertanian bagi membantu golongan miskin di negeri ini, sasaran itu tidak dapat membawa impak yang tinggi terhadap kenaikan taraf sosio ekonomi rakyat.

Katanya, ia disebabkan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik masih bermasalah dan menyukarkan rakyat melakukan rutin harian mereka.

"Kerajaan menggalakkan rakyat menceburi bidang pertanian bagi menambah sumber pendapatan tetapi mereka berdepan sistem perhubungan jalan raya yang tidak sempurna.

"Jadi, bagaimana rakyat membawa keluar hasil pertanian mereka dalam ketiadaan sistem perhubungan jalan raya yang baik," katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri supaya tidak bergantung sepenuhnya kepada peruntukan kerajaan pusat untuk membangunkan Sabah dan mengeluarkan rakyatnya daripada garis kemiskinan tegar.

Katanya, kerajaan negeri boleh menggunakan simpanan kewangan yang ada untuk membantu memajukan negeri dan meningkatkan ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif dan bantuan yang boleh meningkatkan sosio ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 2:06 PM