Dua beranak maut dan seorang cedera treler  hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands. FOTO IHSAN BOMBA PERAK
Dua beranak maut dan seorang cedera treler hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands. FOTO IHSAN BOMBA PERAK
Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Ibu dan anak lelaki meninggal dunia manakala seorang lagi cedera selepas treler dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20, Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kemalangan jam 2.40 petang.

"Siasatan awal di lokasi mendapati, treler 10 tayar membawa muatan tiang besi terbabit dipandu Mohd Zuki Abu Bakar, berusia 45 tahun. Turut bersamanya ialah isteri dan anak lelaki mereka.

"Mohd Zuki yang patah kaki dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala isteri dan anak mereka yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya dihubungi.

A Asmadi berkata, treler terbabit dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala ke Cameron Highlands.

"Treler terbabit hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan sebelum termasuk ke longkang. Ia menyebabkan kabinnya remuk.

"Maklumat berkaitan kedua-dua mangsa yang meningal dunia masih belum diperoleh. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.44 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas ke lokasi.

"Kami kemudiannya mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 10:05 PM