KEADAAN treler selepas terbabas. FOTO ihsan JBPM
KEADAAN treler selepas terbabas. FOTO ihsan JBPM
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Dua beranak maut dan seorang cedera selepas treler dinaiki mereka hilang kawalan dan terbabas di Kilometer 20 Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan jam 2.40 petang.

"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati treler 10 tayar bersama muatan tiang besi dipandu seorang lelaki dan dinaiki bersama isteri serta anak lelakinya terbabas.

"Pemandu treler dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh manakala isteri dan anak yang tersepit berjaya dikeluarkan daripada treler dan disahkan mati di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

A Asmadi berkata, pemandu Mohd Zuki Abu Bakar, 45, yang patah kaki kini masih menerima rawatan di Zon kuning HRPB.

Katanya, siasatan awal mendapati treler terbabit dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Cameron Highlands.

"Punca kemalangan adalah treler berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke kiri bahu jalan sebelum masuk longkang," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 8:09 PM