GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Bahagian Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas lebih 10,000 liter minyak pelincir jenama tiruan bernilai RM111,300 dalam serbuan di gudang di Taman Industri Subang, Subang Jaya, Selangor, semalam.

Pengarahnya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, pasukan serbuan turut menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 53 tahun di tempat kejadian.

Katanya, gudang itu dipercayai dijadikan tempat membuat minyak pelincir bagi kenderaan berat menggunakan jenama Shell.

"Pemilik premis disyaki membuat atau memiliki suatu artikel salinan cap dagangan berdaftar atau tanda yang mungkin menyebabkan kesilapan bagi cap dagangan berdaftar berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan menemukan antara lain label dan penutup tong cap dagang Shell yang dipercayai dibuat oleh sindiket dan siasatan awal mendapati minyak pelincir tiruan itu dipasarkan sekitar Lembah Klang pada harga antara RM185 dan RM240.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 101(b) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Selain itu, kes juga juga disiasat menurut Seksyen 5(a) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM250,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2020 @ 1:53 PM