KPDNHEP serbu premis menyimpan minyak wangi tiruan. FOTO ihsan KPDNHEP
KPDNHEP serbu premis menyimpan minyak wangi tiruan. FOTO ihsan KPDNHEP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan penjualan barangan tiruan di Jalan Lima, off Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, kelmarin.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, operasi itu membabitkan 11 pegawai penguat kuasa KPDNHEP Ibu Pejabat Putrajaya hasil risikan hampir dua bulan, dan turut disertai wakil pemilik cap dagang.

Menurut beliau, enam premis yang dijadikan tempat menyimpan stok minyak wangi tiruan pelbagai jenama diserbu.

"Ketika serbuan pekerja di premis berkenaan sedang mengadakan kerja-kerja pembungkusan minyak wangi ke dalam kotak berjenama bagi tujuan pengedaran," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Iskandar Halim berkata, seorang wanita, 37, dan seorang lelaki, 43, yang mengaku bertanggungjawab menjalankan aktiviti itu ditahan bagi membantu siasatan manakala 33,272 unit minyak wangi pelbagai jenama dijumpai.

Menurut beliau, barangan tiruan itu diperolehi dari China dan selepas proses pembukusan akan diedarkan kepada pemborongdi sekitar Lembah Klang dan dijual dalam talian.

"Kesemua barangan telah dirampas dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,762,800," katanya.

Pemilik premis disyaki melakukan kesalahan mengikut di bawah Akta Cap Dagangan (ACD) 2019 dan kes disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah, katanya.

"Sekiranya disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tigatahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 12:50 PM