Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Berang: Janda anak tiga berusia 32 tahun dan duda berumur 43 tahun ditahan dalam pondok di tepi belukar di Ajil dekat sini, ketika sedang khayal akibat mengambil dadah, jam 6 petang Khamis lalu.

Selain mereka, tiga lagi individu membabitkan dua wanita dan seorang lelaki berusia 35 tahun hingga 39 tahun turut ditahan dalam pondok sama.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, selain itu, pihaknya turut merampas heroin, pil kuda dan syabu bernilai kira-kira RM25,000.

"Serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) hasil maklumat awam serta risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

"Ketika ditahan, semua suspek sedang khayal kerana baru sahaja mengambil bahan terlarang itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu, hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati, pondok itu dijadikan sarang penagihan dan pengedaran dadah.

Mohd Adli berkata, kelima-lima suspek positif syabu dan heroin.

"Mereka aktif mengedar dadah sejak sebulan lalu di sekitar Ajil.

"Kesemuanya direman lima hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

LIMA individu termasuk janda anak tiga dan duda yang sedang khayal selepas dipercayai mengambil bahan terlarang direman selama lima hari untuk siasatan lanjut. FOTO Ghazali Kori
LIMA individu termasuk janda anak tiga dan duda yang sedang khayal selepas dipercayai mengambil bahan terlarang direman selama lima hari untuk siasatan lanjut. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 7:47 PM