BSJN IPD Dang Wangi menahan 10 individu dalam serbuan pusat hiburan di Jalan Loke Yew Sabtu lalu. FOTO Zaaba Zakeria
BSJN IPD Dang Wangi menahan 10 individu dalam serbuan pusat hiburan di Jalan Loke Yew Sabtu lalu. FOTO Zaaba Zakeria
Mohd Azam Shah Yaacob


SEPULUH pengunjung sebuah pusat hiburan di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur yang leka berhibur sambil khayal dengan dadah ditahan polis dalam serbuan Sabtu lalu.

Mereka yang ditahan membabitkan lapan lelaki tempatan dan dua wanita Vietnam yang positif methampthetamin dan ketamin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Rudy Abdullah berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur mulai 1 hingga 3 pagi.

Katanya, dalam serbuan itu, polis memeriksa 26 pengunjung dalam dua bilik VIP di premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan 10 individu gagal ujian air kencing dan dikesan mengambil methamphetamine dan ketamin.

“Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 30 tahun,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi hari ini.

Rudy berkata, polis tidak menemui dadah ketika serbuan itu dan percaya pelanggan yang positif dadah mengambil bahan terlarang itu di luar sebelum berhibur.

“Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana dadah berkenaan diperoleh.

“Buat masa ini, semua direman empat hari sehingga esok mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 7:15 PM