GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

SEORANG lelaki di Jelebu terus mensia-siakan hidupnya apabila masih bergelumang dengan dadah walaupun pernah beberapa kali dihukum atas kesalahan dadah termasuk hukuman penjara.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Kamarul Rizal Jenal, berkata suspek berusia 32 tahun itu sekali lagi dicekup polis dalam satu serbuan Op Tapis di sebuah rumah di Titi, kelmarin.

Katanya, dalam serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jelebu pada 1.20 pagi itu, suspek dalam keadaan khayal.

“Pemeriksaan ke atas suspek tidak menemui barang terlarang, namun soal siasat yang dilakukan mendapati dia menyimpan dadah di tempat lain.

“Suspek menyimpan dadah jenis heroin di dalam bekas gula-gula yang diletakkan di bawah rak televisyen berhampiran tempat tidurnya," katanya kepada NSTP.

Kamarul Rizal berkata, polis menemui satu peket plastik lut sinar dipercayai dadah heroin seberat 2.1 gram.

Katanya, soal siasat mendapati suspek membeli dadah dari seorang lelaki di Semenyih, Selangor kira-kira 60 Kilometer dari Kuala Klawang.

“Suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (A) (1) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Oktober 2018 @ 10:54 AM