DATUK Dr Aizuddin Ahmad dan Saipolyazan Mat Yusop ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Dana TKPH Lembaga Zakat Selangor kepada TKPM di Auditorium. FOTO Muhd Asyraf Sawal
DATUK Dr Aizuddin Ahmad dan Saipolyazan Mat Yusop ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Dana TKPH Lembaga Zakat Selangor kepada TKPM di Auditorium. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Bantuan kewangan bernilai RM1.77 juta oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada pesakit tidak berkemampuan untuk mendapat rawatan hospital di Selangor dan Wilayah Persekutuan membantu melengkapkan visi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke arah rawatan kesihatan holistik dan komprehensif.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, rawatan kesihatan itu mengambil kira semua aspek iaitu fizikal, psikologikal, spiritual dan sosial pesakit.

"Pesakit yang dirujuk kepada Pegawai Kerja Sosial Perubatan di hospital akan dinilai daripada aspek biopsikososial bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja (B40) akan dapat bantuan sama ada untuk membiayai kos rawatan atau pembelian peralatan perubatan yang tidak dibiayai oleh kerajaan.

"Trend di Malaysia, pesakit paling ramai membuat permohonan rawatan adalah pesakit yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, kencing manis, sakit jantung, sakit buah pinggang, pesakit strok perlu kerusi roda dan katil khas.

"Terima kasih kepada LZS di atas sumbangan ini, ia bukan sekali tetapi beberapa kali dibuat membabitkan hospital di Selangor dan Kuala Lumpur. Mungkin zakat negeri lain juga boleh melaksanakan di negeri masing-masing," katanya.

Beliau beliau berkata dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Serahan Sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit Hospital (TKPH) Lembaga Zakat Selangor, di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi LZS Datuk Dr Aziuddin Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M. Yusop dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Shaa'ri Ngadiman.

Dr Rohaizat mewakili KKM turut merakamkan penghargaan kepada LZS di atas keprihatinan membantu kerajaan menangani wabak Covid-19 dengan menyalurkan bantuan sebanyak RM725,480 melalui TKPH.

"Ia bertujuan bagi pembelian peralatan perubatan yang berkaitan saringan dan rawatan pesakit Covid-19 seperti ventilator, khemah, PPE dan sebagainya, malah LZS turun padang menghantar makanan kepada petugas barisan hadapan di hospital sekitar Lembah Klang semasa Perintah Kawalan Pergerakan," katanya.

Sementara itu, Saipolyazan berkata, LZS menyalurkan sumbangan itu sejak 2008 bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

"Tujuan kita adalah bantu mereka yang memerlukan dan mempunyai masalah kesihatan ini sebab jika tidak bantu mereka, mereka tidak boleh kerja, mungkin mereka akan jatuh fakir atau miskin. Ini langkah pencegahan yang kita lakukan.

"LZS yakin sumbangan ini walaupun tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan keperluan sebenar, namun ia sudah mampu memenuhi sedikit keperluan umat Islam," katanya.

Menurutnya, mendahului senarai penerima adalah Hospital Kuala Lumpur yang menerima zakat sebanyak RM300,000 diikuti Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia masing-masing sebanyak RM200,000.

"Sementara itu, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Yayasan Institut Jantung Negara masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM150,000 manakala Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Kajang masing-masing menerima sumbangan sebanyak RM100,000.

"Hospital Shah Alam, Hospital Putrajaya, Pusat Perubatan UiTM, Sungai Buloh dan Hospital Rehabilitasi, Cheras pula masing-masing menerima sebanyak RM50,000 diikuti Institut Kanser Negara sebanyak RM30,000.

"Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Baharu pula masing-masing menerima sebanyak RM20,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 September 2020 @ 2:42 PM