KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan  ujian saringan kepada pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid susulan penularan wabak COVID-19. FOTO AMRAN HAMID
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan kepada pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid susulan penularan wabak COVID-19. FOTO AMRAN HAMID
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Malaysia tidak kebal dan turut akan menjadi seperti negara luar yang mencatatkan jumlah kes tinggi Covid-19 jika kita tidak mengambil langkah berjaga-jaga," tegas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya, dalam tempoh 24 jam semalam, India melaporkan sebanyak 97,570 kes penularan Covid-19, manakala Perancis 10,561 kes dan United Kingdom 3,497 kes.

"Begitu juga kita di Malaysia tidak kebal berikutan kes Covid-19 di luar negara semakin meningkat dan tidak terkawal.

"Kita perlu memperketatkan kawalan sempadan antarabangsa termasuk laluan tikus yang menjadi laluan pendatang asing tanpa izin (Pati) menyusup masuk," katanya kepada Harian Metro.

Dr Noor Hisham berkata, demi keselamatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan rakyat supaya terus menjaga diri dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kalau kita tidak jaga kita sendiri, kes (Covid-19) yang semakin meningkat di luar negara tidak mustahil berlaku di sini (Malaysia)," katanya.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan 58 kes baharu Covid-19 berbanding 182 kes, kelmarin sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes 9,868 jangkitan wabak itu dalam negara dengan jumlah kebolehjangkitan 551.

Berikutan itu, KKM mahu kawalan sempadan antarabangsa diperketat susulan satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Laut dikenal pasti dalam kalangan Pati di Kunak, Sabah.

Kes indeks kluster (iaitu kes ke-9,859) adalah seorang tahanan di Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau yang dihantar balik ke Zamboanga, Filipina pada 27 Ogos lalu.

Namun individu itu menyusup masuk ke Sabah dari Zamboanga melalui jalan tikus pada 5 September lalu untuk melawat isterinya sehingga menyebabkan wujud kluster baharu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 4:17 PM