ANGGOTA Kementerian Kesihatan (KKM) mengiringi individu yang positif Covid-19 kontak dari Kluster Cergas menaiki van untuk ke pusat kuarantin. FOTO BERNAMA
ANGGOTA Kementerian Kesihatan (KKM) mengiringi individu yang positif Covid-19 kontak dari Kluster Cergas menaiki van untuk ke pusat kuarantin. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil

Seremban: Kluster Cergas menjadi antara penyumbang tertinggi Covid-19 di negeri ini dengan 1,120 kes daripada jumlah keseluruhan 3,373 kes positif, setakat semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tiga lagi kluster yang turut menyumbang peningkatan kes adalah Kluster Kaya sebanyak 482 kes; Kluster Lengkuk (232 kes) dan Kluster Taman Bunga (53 kes).

Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 1,892 kes sudah sembuh dan discaj manakala 1,473 kes masih menerima rawatan dan jumlah kematian kekal dengan lapan kes.

"Memang kita (kerajaan negeri) bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di negeri ini.

"Daripada laporan yang diterima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) kebanyakan kes positif yang dikesan adalah daripada kluster yang sudah dikenal pasti dan dikawal Kementerian Kesihatan (KKM).

"Justeru, saya memohon agar rakyat Negeri Sembilan kekal bertenang dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, pematuhan amalan normal baharu yang digariskan sangat penting bagi memastikan tidak wujud kluster baharu di negeri ini.

"Setiap daripada kita berperanan besar dalam memastikan pandemik ini dapat dihentikan dan kadar kebolehjangkitan atau R0 berada di tahap yang rendah," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, terdapat 1,646 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (Jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir).

Menurutnya, berdasarkan pecahan daerah, Seremban mencatatkan sebanyak 367 kes baharu, diikuti Rembau sebanyak empat kes.

"Selain itu, daerah lain tidak mencatatkan kes baharu dan Tampin kekal di bawah Zon Hijau," katanya ketika dihubungi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 November 2020 @ 1:36 PM