Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS mengarahkan penduduk dan orang awam yang pernah mengunjungi Kuala Sanglang bermula 28 Julai lalu untuk menjalani saringan Covid-19.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, ini bagi membolehkan kontak rapat dan penularan wabak melalui kluster Sivagangga dihentikan secepat mungkin.

Menurutnya, orang awam perlu menitik beratkan perkara berkenaan dan sekiranya didapati mereka tidak hadir menjalani saringan, pihak keselamatan akan ke kediaman bagi menjemput mereka yang terbabit.

"Senarai penduduk yang tinggal di sekitar Kuala Sanglang sudah ada, jika mereka sudah keluar sebelum daripada penularan berlaku itu tidak apa.

"Tetapi jika pada 28 Julai atau mempunyai kontak rapat, jadi mereka kena hadir buat saringan," katanya pada sidang media dalam lawatannya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco).

Mengulas mengenai penutupan jalan ke Kuala Sanglang, Surina berkata, pihaknya turut akan menumpukan perhatian dan pengawalan di lorong tikus bagi mengekang penularan wabak.

"Lorong tikus seperti jalan bendang yang menghubungkan antara negeri ini dengan Kedah di Kuala Sanglang juga akan ditutup.

"Jadi kita minta agar penduduk untuk terus mematuhi arahan daripada pihak keselamatan bagi memastikan penularan wabak dapat dihentikan," katanya.

Sehingga kini tiga jalan sudah ditutup dengan sekatan jalan raya (SJR) membabitkan kira-kira 60 anggota keselamatan ditugaskan bagi mengawal laluan keluar masuk orang awam ke Kuala Sanglang.

Temco yang dilaksanakan di Kuala Sanglang bermula jam 10 malam tadi dengan dua penempatan diarahkan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari iaitu di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul.

KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau penduduk setempat yang hendak melakukan  proses saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang berikutan penularan Covid-19  yang dikaitkan dengan Kluster Sivagangga. FOTO Amran Hamid
KAKITANGAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau penduduk setempat yang hendak melakukan proses saringan di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang berikutan penularan Covid-19 yang dikaitkan dengan Kluster Sivagangga. FOTO Amran Hamid

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 2:38 PM