Shamran Sarahan dan Raja Noraina Raja Rahim dan Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: Kluster Benteng di Lahad Datu dan Tawau, Sabah masih terkawal berikutan penularan Covid-19 membabitkan kluster itu terasing daripada orang awam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penularan wabak itu dalam kluster berkenaan sama dengan Kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil sebelum ini.

Menurutnya, ia hanya membabitkan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan kakitangan di lokap polis Lahad Datu dan Penjara Tawau.

"Setakat ini kes terkawal hanya berlaku di lokap dan penjara, (penularan) bukan di dalam masyarakat.

"Contoh sebelum ini kita juga ada (sebahagian daripada) 277 kes (positif Covid-19 pada 4 Jun) di DTI Bukit Jalil dan terkawal di situ bukan dalam masyarakat (menular)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Mengulas mengenai kluster itu, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks dikesan daripada Pati yang ditahan semasa Operasi Benteng dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi lain.

Katanya, operasi bertujuan menghalang kemasukan Pati itu dilihat berjaya mencapai matlamat dan Pati yang ditahan dimasukkan ke lokap serta penjara.

"Tapi apabila disaring, kita dapati ada kes Pati yang positif (Covid-19). Apa yang penting kita perlu mempertingkatkan lagi aktiviti pengesanan Pati.

"Kalau kita boleh membendung daripada Pati masuk melalui jalan tikus, inilah satu kesan yang boleh kurangkan kes kepada seluruh masyarakat di Sabah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19



  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 September 2020 @ 6:55 PM