GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my


Shah Alam : Pencemaran masih lagi dikesan di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, pagi ini.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, keadaan itu menyebabkan semua LRA terbabit masih belum beroperasi sehingga jam 6:30 pagi ini dan berada pada tahap 1 TON.

"LRA hanya boleh beroperasi apabila tahap pencemaran berada pada tahap 0 TON.

"Bantuan bekalan air akan terus diagihkan melalui lori tangki air.

"Pengguna disarankan mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang sedang beroperasi 24 jam sehingga bekalan pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Elina berkata, Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua saluran komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan www.airselangor.com.

"Pengguna juga digalakkan memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air," katanya.

Semalam, Air Selangor melaporkan, sebanyak 1,292 kawasan di Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Penutupan LRA terbabit disebabkan berlaku pencemaran air mentah disyaki berpunca daripada tindakan premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melepaskan sisa seakan pelarut ke sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 8:30 AM