TINJAUAN pencemaran Sungai Selangor berhampiran Loji Rawatan Air (LRA). FOTO arkib NSTP
TINJAUAN pencemaran Sungai Selangor berhampiran Loji Rawatan Air (LRA). FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Insiden pencemaran air mentah disyaki berpunca dari premis perindustrian di kawasan Sungai Gong yang melakukan pelepasan berbau seakan-akan pelarut ke dalam sungai.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, pencemaran itu masih dikesan di muka sauk loji dan berada pada tahap 3 TON.

Beliau berkata, sehubungan itu, Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang masih belum beroperasi sehingga 6.30 petang hari ini.

"Menurut pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Sungai Gong adalah anak sungai kepada Sungai Sembah iaitu anak sungai utama Sungai Selangor.

"Notis penutupan premis perindustrian itu dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 2.30 petang hari ini.

"Walaupun penutupan premis ini dilaksanakan, baki kesan pencemaran masih berada di dalam sungai.

"Dalam tempoh ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 2,700 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 1,292 kawasan dan gangguan bekalan air tidak berjadual dijangka mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya kerana keempat-empat loji dihenti tugas melebihi 10 jam," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor menyarankan kepada pengguna untuk mengambil bekalan air bersih di pili awam kerana bantuan melalui lori tangki air diutamakan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Menurutnya, pengguna boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di Pusat Khidmat Setempat yang disediakan.

"Air Selangor akan mengagihkan 23,000 botol air minum berkapasiti 5 liter dan keutamaan diberikan kepada rumah unit bertingkat seperti flat, pangsapuri dan kondominium.

"Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com," katanya.

Beliau berkata, pengguna digalakkan untuk memuat turun aplikasi telefon pintar Air Selangor di GooglePlay atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 8:31 PM